Apakah itu Agama


OBJEKTIF 
1. Kita dapat menghayati betapa pentingnya manusia kepada agama.
2. Kita boleh menganalisa mengenai pengertian dan kefahaman agama serta perbezaannya antara Ad-Din dengan Riligion.
3. Kita boleh menganalisa perbezaan antara ciri-ciri agama yang umum, ciri-ciri agama wahyu dan ciri-ciri agama budaya dan kesannya dalam kehidupan manusia.
4. Kita dapat menghayati betapa perlunya manusia ini kepada agama wahyu sama ada manusia zaman silam mahupun zaman moden.


PENDAHULUAN
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa beragama itu adalah satu perkara yang telah menjadi tabiat manusia. Jika kita mengkaji sejarah orang-orang dahulu kala kita dapati semua mereka beragama walaupun beragama yang tidak diakui oleh pencipta alam ini, soalnya mereka tetap beragama dan tetap mengakui diri mereka lemah. Begitu juga pada zaman moden ini umat manusia yang sudah sampai kemuncak kejayaan dan kemajuan dalam semua bidang yang serba serbinya canggih, mereka tetap memerlukan agama sebagai tempat kebahagiaan masing-masing. Apakah itu agama, ciri-cirinya, bentuknya dan mengapakah manusia memerlukan agama ?

DEFINASI AGAMA
Ada berbagai-bagai pengertian, kefahaman, tafsiran dan penghayatan manusia mengenai perkataan agama yang disebut Religion atau Ad-Din. Secara umum dan ringkas dari segi bahasa perkataan agama merangkumi erti kuasa tertinggi (Al-Hikimiah), taat dan patuh, berpegang teguh dengan balasan sistem pemikiran dan peraturan.
  
Perkataan agama juga berasal dari bahasa Sangskrit sama ertinya perkataan Peraturan dalam bahasa Melayu kita. Ada juga yang mengatakan perkataan agama dalam bahasa Sangskrit itu asalnya terdiri dari dua suku kata iaitu Suku A dan Suku Gama. Yang pertama A bermakna Tidak dan suku yang kedua GAMA bermakna Kacau. Jadi makna kedua-duanya ialah TIDAK KACAU.
   
Oleh itu dapat kita katakan agama itu adalah suatu peraturan atau undang-undang yang wajib dipatuhi supaya umat manusia dapat hidup dengan aman dan tenteram berdasarkan kehendak agama tersebut tidak berlaku sebarang jenis kekacauan.
   
Dengan lain perkataan agama adalah aturan hidup yang amat diperlukan oleh manusia. Tanpa peraturan tertentu akan menimbulkan kemelaratan, kekacauan, penganiayaan dan sebagainya. Oleh sebab itu hidup yang tidak berperaturan serupalah hidupnya dengan haiwan-haiwan. Haiwan-haiwan itu tidak tahu kepunyaan siapa yang diambil atau dimakannya. Haiwan itu boleh berbuat sesuka hati tanpa memikirkan apa-apa. Yang kuat mengejar yang lemah, yang besar memetuk yang kecil, sigagah tempat menjadi raja, hidup tanpa berperaturan. Itulah hidup haiwan.

Sarjana-sarjana barat pula menganggap bahawa agama yang dipanggilnya sebagai Religion itu berasal dari perkataan yang dimaksudkan sebagai Suatu ikatan lengkap untuk mengikat manusia dengan sebahagian perkerjaannya dengan ikatan wajib dan untuk mengikat seseorang manusia dengan Tuhan. Tegasnya mereka mengatakan bahawa agama adalah semata-mata pengikat makhluk dengan Tuhan.
   
Tuhan yang dikehendaki oleh Takrif Religion ini bukanlah Tuhan yang Maha Esa tetapi Tuhan-tuhan yang disembah oleh orang dahulu seperti Dewa-dewa, puaka dan sebagainya. Mengikut takrif ini agama hanya berkisar masalah kepercayaan kerohanian dan akhlak semata-mata. Oleh kerana masalah peraturan hidup dan kehidupan manusia yang merangkumi politik sosial budaya dan ekonomi tidak ada hubung kaitnya dengan agama. Agama hanya fahaman sebagai satu amalan peribadi, yakni hubungan insan dengan Tuhannya sahaja.

Agama dari segi istilah ialah ajaran-ajaran yang disyariatkan oleh Allah melalui RasulNya untuk panduan umat manusia. Menurut definasi ini, agama adalah meliputi akidah dan amal. Hanya agama Tuhan seperti Islam, masihi dan Yahudi sahaja yang diakui sebagai agama. Adapun kepercayaan-kepercayaan lain tidak boleh dianggap sebagai agama, kerana ajarannya bukan datang dari Allah.
   
Agama menurut pandangan Islam ialah suatu undang-undang yang dicipta oleh Allah untuk dipatuhi oleh makhluknya demi kepentingannya mereka di dunia dan di akhirat dan disediakan balasan yang setimpal lagi saksama. Dengan lain perkataan agama merupakan ajaran Allah yang dijadikan sebagai sistem hidup manusia yang menyeluruh dan merangkumi segala aspek kehidupan mereka meliputi perkara-perkara jasmani dan rohani, dunia dan akhirat, mengatur hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan cara hidup yang merangkumi segala soal hidup dunia dan akhirat, kepercayaan akidah, syariah dan akhlak, politik, sosial, ekonomi, pendidikan, falsafah dan sebagainya.

CIRI-CIRI AGAMA YANG UMUM 
1. Adanya kepercayaan kuasa yang tertinggi.
2. Adanya kewajipan taat setia dan patuh.
3. Adanya peraturan-peraturan yang tertentu.
4. Adanya konsep balasan.

PERBEZAAN YANG PENTING DALAM PENGERTIAN INI
1. Dalam Islam sumbernya datang dari Wahyu (Hidayah Allah). Bukan sumber akal fikiran, pengalaman, ramalan dan sebagainya.
2. Dari segi skop atau ruang lingkup. Dalam Islam ruang agama sangat luas meliputi segala bidang kehidupan manusia sama ada yang berhubung dengan Tuhan dengan manusia atau manusia dengan manusia atau manusia dengan alam rohani dan jasmani atau dunia dan akhirat, ibadah, akidah, syariah, akhlak dan lain-lainnya, tetapi dalam bukan Islam skopnya terbatas kepada bidang-bidang rohani, akhirat dan ibadat hubungan dengan Tuhan sahaja.
3. Matlamat : Dalam Islam matlamat beragama ialah menumpukan peribadatan dan penghambaan insan hanya kepada Allah yang Esa, mencari keredhaan Allah, mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Dengan itu segala apa kebajikan yang lain dengan sendirinya terkandung dalam konsep ibadat. Tetapi matlamat bukan Islam adalah berbagai-bagai matlamat seperti memenuhi kekosongan jiwa, mencari ketengangan, memuja sesuatu yang ghaib, meminta dan mengharap dan sebagainya.

PEMBAHAGIAN AGAMA
Segala agama yang ada di kalangan manusia secara umum dibahagikan kepada dua bahagian :
1. Agama Wahyu
2. Agama Budaya
Agama Wahyu ialah agama yang datangnya dari Allah seperti Yahudi Masihi dan Islam.
Agama budaya ialah agama yang datangnya dari sumber dan hasil akal fikiran manusia. Pada hakikatnya agama budaya bukannya Ad-Din tetapi lebih tepat hanya falsafah moral.


CIRI-CIRI AGAMA WAHYU
1. Datangnya dari Allah, Tuhan Yang Maha Esa, pencipta yang lebih berhak berkuasa dari segala makhluk.
2. Akidahnya berdasarkan tauhid, mengesakan Tuhan
3. Disampaikan oleh seseorang Rasul.
4. Mempunyai kitab atau suhuf, wahyu dari Allah
5. Ajarannya sesuai, bertempatan dengan fitrah dan akal manusia.

No comments:

Post a Comment