Kenali AGAMA ISLAM


OBJEKTIF 

1. Menyakinkan kepada kita tentang Islam adalah agama benar dan sah di sisi Allah.

2. Kita dapat memahami kefahaman erti Islam yang sebenar menurut Al-Quran dan Hadis sama ada dari segi bahasa atau istilah.

3. Kita boleh menganalisa mengenai keistimewaan dan keunggulan Agama Islam dari semua sudut.

4. Kita dapat membezakan antara Islam secara sukarela dengan Islam terpaksa serta dihayatinya.

5. Memberi panduan kepada kita mengenai kaedah dan cara-cara mempelajari Agama Islam supaya tidak berlaku penyelewengan dan kesesatan.

6. Kita dapat menghayati dan mempraktikkan Islam sebagai satu cara hidup yang praktikal, dinamik dan membawa kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

AGAMA ISLAM

Agama Islam ialah agama yang sah dan benar. Yang diakui sahnya dan benarnya oleh Allah. Tuhan sekelian alam iaitulah Tuhan Yang Maha Esa dan amat berkuasa tidak ada Tuhan yang sebenarnya lain daripadanya. Pengakuan yang disebutkan itu telah diterangkan oleh Allah dengan firmannya di dalam surah Al-Imran ayat 19.


Maksudnya :

Sesungguhnya agama yang benar disisi Allah ialah agama Islam”.

Dalam surah Al-Maidah ayat 3 pula Allah telah berfirman

Maksudnya :

Dan aku redhai agama Islam itu menjadi agama kamu

Dan dalam surah Al-Imran ayat (85) Allah telah memberi amaran dengan firmannya :



Bermaksud :

Dan barang siapa yang menganut agama lain dari agama Islam, tidaklah sekali-kali akan diterima oleh Allah daripadanya dan adalah ia pada hari qiamat termasuk golongan orang yang rugi”.

PENGERTIAN ISLAM 

Islam ialah perkataan bahasa Arab (nama terbitan) yang mempunyai beberapa pengertian. Ia dapat kita fahami demi huraian berikut :

1. Silmun
bererti aman damai (fikiran dan perasaan)

2. Salamun
bererti selamat sejahtera diri, keluarga, masyarakat dan negara di dunia dan di akhirat.

3. Taslimun
bererti menyerah diri, patuh, tunduk taat setia.

4. Suci dan tulin dari sebarang kecacatan zahir dan batin.


Daripada beberapa pengertian di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa dari segi istilah Islam adalah satu agama (kepercayaan dan pegangan hidup) yang menjamin kedamaian fikiran dan perasaan serta mengawal keselamatan dan kesejahteraan hidup umatnya, diri, keluarga, masyarakat dan negara di dunia dan di akhirat dengan cara (syarat) menyerah diri kepada Allah tunduk, patuh dan sabar melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangannya.


Islam menurut istilah mempunyai banyak pengertian antaranya :


1. Tercantum dalam sebuah hadis yang berbunyi :

Maksudnya :

Hai Muhammad khabarkanlah kepada aku darihal Islam ? Maka Rasulullah S.A.W. menjawab : Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat dan engkau puasa bulan Ramadhan dan engkau mengerjakan Haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya


2. Tunduk, patuh, setia dan menyerah diri kepada Allah serta mentaatinya yang lahir dari kesedaran dengan tidak dipaksa kerana ketundukan seperti itu tanpa perhitungan pahala dan dosa. Ketundukan dengan penuh kesedaran merupakan hakikat Islam yang memberi kesan sentiasa redha dan menerima agama Allah sebagai pedoman dan cara hidup dengan rasa tulus ikhlas dan jujur kepadanya.


3. Merupakan kumpulan peraturan yang diturunkan Allah kepada Rasulnya sama ada peraturan yang berbentuk kepercayaan ibadah, akhlak, muamalah dan sejarah yang terkandung di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulnya dan diperintahkan untuk disampaikan kepada umat manusia.


4. Islam adalah pedoman hidup yang sebenarnya petunjuk dalam semua aspek hidup dan kehidupan umat manusia, ubat yang mujarab untuk mengatasi dan memperbaiki masyarakat dan jalan yang betul bagi orang yang bersedia untuk mengikutinya.


5. Islam ialah keseluruhan Ad-Din yang dibawa oleh Nabi Muhammad yang terkandung di dalamnya Aqidah, amalan dan hukum yang disertai dengan kepatuhan secara zahir dan batin dan akhlak.

Kesimpulannya segala pengertian tersebut di atas hanya contoh dan boleh ditambah dengan berbagai-bagai definasi. Semuanya boleh diterima sekiranya merangkumi maksud ajaran yang terkandung di dalam Islam. Seterusnya semua definasi tersebut tidak bercanggah kerana ianya berlaziman di antara satu sama lain. Semakin banyak definasi menunjukkan kepada kita betapa syumulnya Islam sehingga tidak ada perkataan yang dapat kita terjemahkan makna seerti dengan hakikat Islam.

No comments:

Post a Comment